Tuesday, June 09, 2009


                                                              Ibn Saud King Abdul Aziz


                                                                       Sharif Hussein
Wujudnya Kerajaan Saudi Secara Sepintas Lalu

Sharif Hussein ialah Moyang King Abdullah of Jordan sekarang. Umum mengakui mereka adalah daripada keturunan Nabi Sallahu Alai Wassalam. Perlantikan Sharif Hussein sebagai wali Makkah adalah di bawah autoriti Sultan Uthmaniyyah pada ketika itu iaitu Sultan Abdul Hamid. 

Pengaruh Turki di Jazirah Arab pada awal kurun ke-20 begitu lemah sekali. Kedatangan kuasa Barat untuk membahagikan Turki kepada beberapa wilayah autonomi berjalan dengan lancar sekali. Tidak terkecuali semenanjung tanah Arab. Wilayah yang dianugerahkan oleh Allah dengan kekayaan minyak dan gasnya. 

Pengaruh gerakan Ibn Abdul Wahab di Jazirah melahirkan sebuah kerajaan yang kuat di Timur Tanah Arab iaitu satu kawasan bernama Najd. Maka pada masa itu Jazirah dikuasai oleh autoriti Ahlu- Bait di Makkah (Sharif berpusat di Makkah) , dan Al-Saud di Najd (memakai gelaran Sultan) . Belum ada satu kesatuan yang benar-benar kukuh pada waktu itu untuk melawan pengaruh British di Jazirah Arab. 

Wali Makkah Sharif Hussein mengambil peluang dengan ketidak tentuan kerajaan Osmanli di Istanbul lantas melancarkan satu gerakan besar-besar di kalangan masyarakat Arab Jazirah untuk melawan ketuanan Turki di Jazirah. Akibatnya pertemuan berlangsung di antara Sharif Hussein dengan T.E Lawrence atau digelar of Arabia kerana kefasihannya bercakap di dalam bahasa Arab. Dengan semangat yang berkobar-kobar maka pemberontakan dilancarkan ke atas tentera Osmanli di Jazirah akbatnya Tentera Osmanli berundur dari Jazirah. 

Dalam masa yang sama, Ibn Saud juga ingin menakluki wilayah selatan dan barat namun terhenti akibat dari pergolakan di barat Hejaz. Bagi mengukuhkan perlaksanaan mereka, British menasihati Ibn Saud supaya tidak terlibat di dalam pergolakan mereka dengan tentera Uthmaniyyah bahkan disuruh pula untuk bersekutu dengan Sharif Hussein yang benar-benar sudah terperangkap di dalam taktik kotor British itu. Pemberontakan Arab berlaku pada 1916

Dalam tahun-tahun perang dunia pertama , menyaksikan kuasa barat terlalu serakah dengan wilayah Arab. Perjanjian Sykes Pycot di antara British dan Perancis menyaksikan dua negara baru ditubuhkan di tanah Arab iaitu Iraq dan Transjordan.

Turki Uthmaniyyah tumbang pada tahun 1918 akibat daripada pemberontakan Arab dan kemunculan Mustafa Kamal Attarturk. Maka Sharif Hussein menggunakan gelaran Amir bagi seluruh Hijaz dan seterusnya memerintah Iraq dan Transjordan melalui perlantikkan Sharif Abdullah dan Sharif Faisal

Akibatnya Sharif Hussein mula kehilangan sokongan daripada umat Islam di seluruh dunia. Dunia memandang Sharif Hussein sebagai pemuka yang gilakan kuasa dan sanggup memusnahkan insititusi khalifah bagi kepentingan diri sendiri. 

Pada 1924 kekosongan berlaku dalam dunia Islam. Sistem Khalifah yang berusia lebih 1300 tahun yang bermula pada zaman khulafa Ar-Rasyideen telahpun hilang dan umat Islam menangisinya buat sekalian kali. Hal ini diwujudkan bukan oleh orang lain bahkan secara ironinya yang menjatuhkan institusi ini ialah daripada mereka yang mengaku diri mereka berketurunan Nabi S.A.W! 

Maka dari situasi itulah juga Sharif Hussein menggunakan gelaran Khalifah sebagai tanda penguasaannya terhadap sistem politik masyarakat Islam ketika itu.  Gerakan khalifat di India meragui keikhlasan Sharif Hussein dan tidak menyokong tindakan tersebut. Begitu juga umat Islam lain di dunia, tidak menyetujui tindakan Sharif Hussein itu, kerana sentimen mereka terhadap Khalifah Turki Uthmaniyyah 

Perseteruan Sharif Hussein dan Ibn Saud tidak dapat dibendung lagi. Perdamaian selamat 8 tahun di antara Sharif dan Ibn Saud mula menanti retak apabila kota Makkah dan Madinah mula dipenuhi dengan amalan-amalan khurafat yang bertentangan dengan ruh Islam itu sendiri. Sekarang tibalah masa untuk Ibn Saud menumbangkan kekuasaan Sharif Hussein pula kerana gelaran khalifah yang digunakan oleh Sharif tidak seiring dengan sikapnya yang sanggup menggadai kuasa politik  umat Islam di Hejaz dan juga sikap nasionalisnya yang bertentangan dengan Islam

Kekuasaan Sharif amat lemah bahkan beliau kelihatan berseorangan di Hejaz. Tiada siapa yang mahu menolongnya, termasuk British. British tidak mahu masuk campur kerana mereka tahu Sharif Hussein begitu lemah, dan juga tidak mahu menolong Ibn Saud kerana ditakutkan Ibn Saud akan mengusir mereka dari jazirah. Juga masalah mereka di India.

Perang meletus di antara Ibn Saud dan Sharif Hussein. Akibatnya kekuasaan Sharif di Hejaz merosot dengan teruk akibat kelemahan beliau dan kurangya bantuan daripada  yang bersimpati.

Sharif Hussein kalah dan digantikan oleh Sharif Ali puteranya yang bijak tetapi lemah dari segenap aspek pemerintahan. Sharif Hussein pula meninggal dunia dalam keadaan dirinya yang hampa. Kerana tidak berjaya mendapatkan semula Hejaz daripada Ibn Saud. 
Dalam tindakan beliau yang terakhir, Sharif Ali menggunakan alasan untuk terus berkuasa iaitu berjanji untuk melaksanakan shareeah. Malangnya tindakannya itu bukan sahaja bersifat politik bahkan hanya dilaksanakan separuh sahaja dan menjadikan perbuatannya jelek di kalangan masyarakat Arab ketika itu. 

Akibatnya Ibn Saud mengambil keputusan untuk menawan Hijaz dan mengharamkan Sharif Ali daripada masuk semula ke Hijaz. Sharif Ali tidak dapat berbuat apa-apa kerana kehilangan sokongan bahkan saudaranya Amir Abdullah dan Amir Faisal masing-masing di Jordan dan Iraq telah kehilangan dorongan daripada British kerana Briitish tahu menolong mereka berdua ibarat melepaskan anjing tersepit. 

Dalam masa kritikal inilah tanpa arahan daripada Ibn Saud, tentera Saud atau lebih dikenali sebagai al-Ikhwan melancarkan serangan terhadap Jordan dan Iraq. Hal inilah menjadikan British bermain tarik tali dengan Sharif berdua tersebut. 

Saudi Arabia terbentuk secara rasmi pada tahun 1932 dengan Ibn Saud Abdul Aziz menjadi ketua negara memakai gelaran Al-Malik dan Negara Arab Saudi digelar sebagai Al Mamlakah Arabiyyah as-Saudiyyah.

Sumber rujukan: Almana, Mohammad Arabia Unified : A Potrait of ibn Saud
                               Iqbal S. Muhammad, the Emergence of Saudi Arabia

Maklumat lebih jelas boleh diperolehi daripada



Sumber Sahih boleh diperoleh melalui :Teitelbaum, Joshua (2001). The Rise and Fall of the Hashemite Kingdom of the Hijaz. C. Hurst & Co. Publishers

Iqbal dan catatan Lawrence of Arabia :Lawrence, T. E. (1935). Seven Pillars of Wisdom. Doubleday, Doran, and Co

p/s Penulis cuba untuk lari dari bersikap prejudis. Selama ini ramai pihak yang cuba mengaitkan Ibn Saud sebagai perancang utama kepada kejatuhan empayar Turki Uthmaniyyah, nah inilah hasilnya. Baca dan fahami kerana sejarah bisa membukakan mata kita.


 

No comments: