Friday, June 12, 2009

Biasanya di Sarawak sudah menjadi lumrah masyarakat Islamnya menghias kuburan maka tidak sedikitpun pada akal fikiran mereka untuk bertanya hukum menghias kubur tersebut kepada orang yang lebih arif. Maka di sini diperturunkan sekelumit ilmu untuk kita semua agar dapat dihayati bersama-sama.



Wednesday, June 10, 2009



Turki Selepas Sultan Abdul Hamid 1876-1016

Sultan Abdul Hamid dikeluarkan dari istana dan menetap di sebuah tempat bernama Beylerbeyi Palace di Bosphorus. Sultan Abdul Hamid banyak menghabiskan masa dengan pertukangan dan juga bacaan. 

Ramai yang tidak mengetahui Sultan Abdul Hamid bukanlah sultan terakhir Khalifah Uthmaniyyah, malah beliau digantikan oleh adiknya Sultan Mehmet V yang dibonekakan oleh Parlimen. Sultan itu kemudiannya digantikan oleh Mehmed VI dan seterusnya Sultan Abdul Majid II  yang menggunakan gelaran Khalifah. 

Sultan Abdul Majid II menggunakan gelaran khalifah akibat daripada sentimen politik yang dimainkan oleh Majlis Nasional Turki. Gelaran ini bukanlah secara umum dan hanya digunakan sebagai simbol bagi meredakan kemarahan masyarakat Turki pada masa itu. 

Akibatnya pusat pentadbiran baru di Turki diasaskan di Ankara pada tahun 1923 manakal Istanbul masih lagi menjadi pusat pemerintahan khalifah. Perkara ini menandakan bermulanya sekularisme di Turki sehinggalah pada 29 Oktober 1923, keseluruhan Turki mula dipengaruhi oleh golongan politik ulta-nasionalis yang condong kepada kemalisme dan sekularisme. Kedua-dua ideologi itu menyebabkan timbul perasaan benci khalifah kepada Mustafa Kamal, Mustafa Kamal bertindak cepat dengan menghala segala ketidak tentuan politik di Turki ke muka Sultan, akibatnya Sultan didakwa akibat menghuru harakan negara. 

Pada 3 Mac 1924, kekhalifahan Turki telah dihapuskan sama sekali. Maka wujudlah jalan hitam di Turki sehingga kini. Bukan sahaja menyah kekuasaan kesultanan Turki bahkan terus menerus menghina dan mencerca Islam secara terang-terangan. Agama Islam menjadi simbol yang hanya diamalkan oleh individu dan bukan lagi amalan sejagat. Segala kekalutan semakin parah dengan mengalunkan azan dengan bahasa Turki dan membaca tafsiran al-Quran di dalam bahasa Turki bagi menghalang apa yang dilabelkan sebagai budaya gelap di tanah Arab tidak mencemarkan kemodenan yang diminta oleh Mustafa Kamal itu. 



Tuesday, June 09, 2009


                                                              Ibn Saud King Abdul Aziz


                                                                       Sharif Hussein
Wujudnya Kerajaan Saudi Secara Sepintas Lalu

Sharif Hussein ialah Moyang King Abdullah of Jordan sekarang. Umum mengakui mereka adalah daripada keturunan Nabi Sallahu Alai Wassalam. Perlantikan Sharif Hussein sebagai wali Makkah adalah di bawah autoriti Sultan Uthmaniyyah pada ketika itu iaitu Sultan Abdul Hamid. 

Pengaruh Turki di Jazirah Arab pada awal kurun ke-20 begitu lemah sekali. Kedatangan kuasa Barat untuk membahagikan Turki kepada beberapa wilayah autonomi berjalan dengan lancar sekali. Tidak terkecuali semenanjung tanah Arab. Wilayah yang dianugerahkan oleh Allah dengan kekayaan minyak dan gasnya. 

Pengaruh gerakan Ibn Abdul Wahab di Jazirah melahirkan sebuah kerajaan yang kuat di Timur Tanah Arab iaitu satu kawasan bernama Najd. Maka pada masa itu Jazirah dikuasai oleh autoriti Ahlu- Bait di Makkah (Sharif berpusat di Makkah) , dan Al-Saud di Najd (memakai gelaran Sultan) . Belum ada satu kesatuan yang benar-benar kukuh pada waktu itu untuk melawan pengaruh British di Jazirah Arab. 

Wali Makkah Sharif Hussein mengambil peluang dengan ketidak tentuan kerajaan Osmanli di Istanbul lantas melancarkan satu gerakan besar-besar di kalangan masyarakat Arab Jazirah untuk melawan ketuanan Turki di Jazirah. Akibatnya pertemuan berlangsung di antara Sharif Hussein dengan T.E Lawrence atau digelar of Arabia kerana kefasihannya bercakap di dalam bahasa Arab. Dengan semangat yang berkobar-kobar maka pemberontakan dilancarkan ke atas tentera Osmanli di Jazirah akbatnya Tentera Osmanli berundur dari Jazirah. 

Dalam masa yang sama, Ibn Saud juga ingin menakluki wilayah selatan dan barat namun terhenti akibat dari pergolakan di barat Hejaz. Bagi mengukuhkan perlaksanaan mereka, British menasihati Ibn Saud supaya tidak terlibat di dalam pergolakan mereka dengan tentera Uthmaniyyah bahkan disuruh pula untuk bersekutu dengan Sharif Hussein yang benar-benar sudah terperangkap di dalam taktik kotor British itu. Pemberontakan Arab berlaku pada 1916

Dalam tahun-tahun perang dunia pertama , menyaksikan kuasa barat terlalu serakah dengan wilayah Arab. Perjanjian Sykes Pycot di antara British dan Perancis menyaksikan dua negara baru ditubuhkan di tanah Arab iaitu Iraq dan Transjordan.

Turki Uthmaniyyah tumbang pada tahun 1918 akibat daripada pemberontakan Arab dan kemunculan Mustafa Kamal Attarturk. Maka Sharif Hussein menggunakan gelaran Amir bagi seluruh Hijaz dan seterusnya memerintah Iraq dan Transjordan melalui perlantikkan Sharif Abdullah dan Sharif Faisal

Akibatnya Sharif Hussein mula kehilangan sokongan daripada umat Islam di seluruh dunia. Dunia memandang Sharif Hussein sebagai pemuka yang gilakan kuasa dan sanggup memusnahkan insititusi khalifah bagi kepentingan diri sendiri. 

Pada 1924 kekosongan berlaku dalam dunia Islam. Sistem Khalifah yang berusia lebih 1300 tahun yang bermula pada zaman khulafa Ar-Rasyideen telahpun hilang dan umat Islam menangisinya buat sekalian kali. Hal ini diwujudkan bukan oleh orang lain bahkan secara ironinya yang menjatuhkan institusi ini ialah daripada mereka yang mengaku diri mereka berketurunan Nabi S.A.W! 

Maka dari situasi itulah juga Sharif Hussein menggunakan gelaran Khalifah sebagai tanda penguasaannya terhadap sistem politik masyarakat Islam ketika itu.  Gerakan khalifat di India meragui keikhlasan Sharif Hussein dan tidak menyokong tindakan tersebut. Begitu juga umat Islam lain di dunia, tidak menyetujui tindakan Sharif Hussein itu, kerana sentimen mereka terhadap Khalifah Turki Uthmaniyyah 

Perseteruan Sharif Hussein dan Ibn Saud tidak dapat dibendung lagi. Perdamaian selamat 8 tahun di antara Sharif dan Ibn Saud mula menanti retak apabila kota Makkah dan Madinah mula dipenuhi dengan amalan-amalan khurafat yang bertentangan dengan ruh Islam itu sendiri. Sekarang tibalah masa untuk Ibn Saud menumbangkan kekuasaan Sharif Hussein pula kerana gelaran khalifah yang digunakan oleh Sharif tidak seiring dengan sikapnya yang sanggup menggadai kuasa politik  umat Islam di Hejaz dan juga sikap nasionalisnya yang bertentangan dengan Islam

Kekuasaan Sharif amat lemah bahkan beliau kelihatan berseorangan di Hejaz. Tiada siapa yang mahu menolongnya, termasuk British. British tidak mahu masuk campur kerana mereka tahu Sharif Hussein begitu lemah, dan juga tidak mahu menolong Ibn Saud kerana ditakutkan Ibn Saud akan mengusir mereka dari jazirah. Juga masalah mereka di India.

Perang meletus di antara Ibn Saud dan Sharif Hussein. Akibatnya kekuasaan Sharif di Hejaz merosot dengan teruk akibat kelemahan beliau dan kurangya bantuan daripada  yang bersimpati.

Sharif Hussein kalah dan digantikan oleh Sharif Ali puteranya yang bijak tetapi lemah dari segenap aspek pemerintahan. Sharif Hussein pula meninggal dunia dalam keadaan dirinya yang hampa. Kerana tidak berjaya mendapatkan semula Hejaz daripada Ibn Saud. 
Dalam tindakan beliau yang terakhir, Sharif Ali menggunakan alasan untuk terus berkuasa iaitu berjanji untuk melaksanakan shareeah. Malangnya tindakannya itu bukan sahaja bersifat politik bahkan hanya dilaksanakan separuh sahaja dan menjadikan perbuatannya jelek di kalangan masyarakat Arab ketika itu. 

Akibatnya Ibn Saud mengambil keputusan untuk menawan Hijaz dan mengharamkan Sharif Ali daripada masuk semula ke Hijaz. Sharif Ali tidak dapat berbuat apa-apa kerana kehilangan sokongan bahkan saudaranya Amir Abdullah dan Amir Faisal masing-masing di Jordan dan Iraq telah kehilangan dorongan daripada British kerana Briitish tahu menolong mereka berdua ibarat melepaskan anjing tersepit. 

Dalam masa kritikal inilah tanpa arahan daripada Ibn Saud, tentera Saud atau lebih dikenali sebagai al-Ikhwan melancarkan serangan terhadap Jordan dan Iraq. Hal inilah menjadikan British bermain tarik tali dengan Sharif berdua tersebut. 

Saudi Arabia terbentuk secara rasmi pada tahun 1932 dengan Ibn Saud Abdul Aziz menjadi ketua negara memakai gelaran Al-Malik dan Negara Arab Saudi digelar sebagai Al Mamlakah Arabiyyah as-Saudiyyah.

Sumber rujukan: Almana, Mohammad Arabia Unified : A Potrait of ibn Saud
                               Iqbal S. Muhammad, the Emergence of Saudi Arabia

Maklumat lebih jelas boleh diperolehi daripada



Sumber Sahih boleh diperoleh melalui :Teitelbaum, Joshua (2001). The Rise and Fall of the Hashemite Kingdom of the Hijaz. C. Hurst & Co. Publishers

Iqbal dan catatan Lawrence of Arabia :Lawrence, T. E. (1935). Seven Pillars of Wisdom. Doubleday, Doran, and Co

p/s Penulis cuba untuk lari dari bersikap prejudis. Selama ini ramai pihak yang cuba mengaitkan Ibn Saud sebagai perancang utama kepada kejatuhan empayar Turki Uthmaniyyah, nah inilah hasilnya. Baca dan fahami kerana sejarah bisa membukakan mata kita.


 

Sunday, June 07, 2009

Kejatuhan Kerajaan Turki Uthmaniyyah Satu Imbasan Sejarah Bahagian 1

 

Pada tahun 1299 Kesultanan Turki di bawah pimpinan Osman Ghazi telah ditubuhkan. Pada zaman ini masyarakat Islam telah mengalami satu zaman kegelapan dan tidak bersatu padu selepas penaklukan Moghul di Baghdad pada 1258. Penaklukan Baghdad di tangan Moghul mncetuskan satu krisis terhadap penyatuan ummah pada kurun tersebut. Di sinilah bermulanya satu zaman transisi yang menjurus kepada beberapa bermulanya sebuah sistem politik yang kompleks pada mata ramai sejarahwan Islam di Barat mahupun Timur.

 

Kesultanan Turki berkembang dari sebuah wilayah yang kecil kepada sebuah wilayah yang besar pada kurun ke- 15 Masihi. Pembukaan Konstantinopel oleh Al- Fateh Sultan Mehmed II telah membuka Turki bukan sahaja sebagai empayar tetapi kuasa besar yang digeruni oleh Barat.

 

Kejatuhan Turki (1839- 1924)

 

Turki Uthmaniyyah pada tahun-tahun tersebut telah ditadbir oleh beberapa orang Sultan iaitu 

§  Abd-ul-Mejid I (1839-1861)

§  Abd-ul-Aziz (1861-1876)

§  Murad V (1876)

§  Abd-ul-Hamid II (1876-1909)

§  Mehmed V (Reşad) (1909-1918)

§  Mehmed VI (Vahideddin) (1918-1922)

§  Abd-ul-Mejid II, (1922-1924; hanya sebagai Kalifah)

 

Ironinya kedua-dua Sultan Abdul Majid I dan Abdul Majid II adalah Sultan-sultan yang pertama dan terakhir pada zaman-zaman tersebut. 

 

Sultan Abdul Majid mencadangkan satu program pembaharuan iaitu Tanzimat. Pengenalan program ini sebagai satu proses memodenkan Turki dalam semua aspek mengikut model Eropah, lebih-lebih lagi Turki merupakan satu kuasa tunggal Islam yang berada di tengah-tengah kuasa barat yang semakin berkembang itu. Program ini mengikut model Perancis dan ditadbir oleh ramai pegawai dari negara tersebut. Usaha Tanzimat itu hanya bertahan pada 1876 iaitu pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Aziz I

 

Tanzimat berakhir dengan banyak pergolakan politik dan sosial di Turki apatah lagi keadaan Turki dari tahun ke tahun semakin nazak dengan desakan politik oleh kuasa-kuasa asing menimbulkan keraguan kepada keupayaan Sultan untuk mentadbir kerajaan.

 

Kini Turki mula menjadi bahan agihan seolah-olah sekeping pai yang dikongsi bersama oleh banyak kuasa asing terutamanya Perancis, British dan Russia. 

 

Kemerosotan kuasa Sultan di Mesir

 

Mesir pada tahun 1798 telah ditakluki oleh Perancis. Kesultanan Memeluk tidak dapat menahan asakan tentera Perancis kerana ketenteraan mereka yang lemah itu. Pada tahun 1801 tentera Turki menghantar dengan bantuan tentera British telah berjaya menakluki semula Mesir dan mengembalikan semula wilayah tersebut. Pemuka Memeluk mendapat kembali kekuasaan mereka tetapi hanya seketika. Seorang tokoh tentera mula diangkat sebagai wizurai (wali ) bagi Mesir. Bernama Muhammad Ali Pasha beliau mula menjalankan percubaan untuk membawa aotonomi ke atas Mesir dan membebaskan Mesir daripada Turki. Usaha beliau itu amat terancang bermula dengan membunuh kesemua pemuka Memeluk yang berbaki di Selatan Mesir sehinggalah memonopoli bidang ekonomi yang menjadikan rakyatnya sengsara.

 

Dalam artikel yang lain penulis akan menceritakan tentang 

1. Golongan manakah yang terlibat dengan Lawrence Of Arabia 

2. Turki selepas Sultan Abdul Hamid 

 

Saturday, June 06, 2009

Tajdid satu keperluan umat

Tajdid atau pembaharuan (renewal) adalah satu keperluan. Jika tidak kerana gerakan atau usaha tajdid sepanjang sejarah umat ini tentulah Islam menjadi begitu lemah dan hilang kemampuannya. Nabi s.a.w dalam hadis yang sahih diriwayatkan oleh al-Imam Abu Daud menyebut: "Sesungguhnya Allah akan menghantar untuk umat ini setiap awal seratus tahun sesiapa yang mentajdidkan untuk umat ini agamanya". Sepanjang sejarah, tokoh-tokoh atau gerakan tajdid muncul melaksanakan berbagai usaha dan menghadapi berbagai cabaran. Berbagai-bagai bidang tajdid dilakukan demi kebaikan umat. Khalifah 'Umar bin 'Abd al-'Aziz ialah tokoh tajdid (mujaddid) yang disepakati umat. Kemudian muncul berbagai tokoh lain yang dianggap mujaddid; seperti al-Imam al-Syafi'i (meninggal 204H), al-Imam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) dan lain-lain. Perkataan 'man' atau sesiapa dalam hadis di atas mencetuskan berbagai tafsiran di kalangan sarjana. Mereka membahaskan apakah ia bermaksud 'seorang' setiap kurun, atau ramai tetapi bertebaran di berbagai tempat dan negeri yang berbeza, atau ia bermaksud gerakan dan seumpamanya. Apapun yang penting, hadis ini menceritakan tajdid dalam Islam adalah keperluan.

Tajdid bukan bererti mendatangkan agama baru. Di sini dua maksud tajdid boleh diberikan; pertama, tajdid bermaksud mengembalikan wajah asal agama seperti kita membaharukan semula sesuatu yang telah menjadi buruk atau akan luput tarikhnya. Pembaharuan atau tajdid bererti yang asal itu wujud, tetapi keadaan dan masa menuntut ia dibaharukan. Contoh yang praktikal adalah kita membaharukan lesen memandu atau selainnya. Lesen asal itu ada, tetapi dipembaharuan dibuat disebabkan ia menjadi lama atau luput. Kedua, tajdid juga boleh bermaksud benar-benar mendatang sesuatu yang baru disebabkan kerana keperluan dan tuntutan yang baru yang tiada pada zaman sebelumnya seperti manusia mengadakan kenderaan moden, tetapi atas asas yang sama iaitu kehendakan manusia untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Maka dalam konteks Islam, sesuatu yang baharu itu hendaklah tidak mengubah agama, sebaliknya tafsiran atau pandangan yang baru disebabkan tuntutan keadaan, namun ia tetap tidak lari dari maksud dan kehendak nas al-Quran dan al-Sunnah. Dalam ertikata lain, pembaharuan Islam bermaksud mengembalikan umat kepada wajah asal Islam yang telah tercemar dan dilupai disebabkan keadaan dan zaman, atau mengadakan tafsiran dan pandangan baru atas keperluan semasa tetapi tetap berteraskan al-Quran dan al-Sunnah.

Dalam hadis yang lain baginda menyebut: "Hendaklah membawa ilmu ini mereka yang adil dari para penyambung (dari setiap generasi); mereka menafikan (menentang) penyelewengan golongan yang melampaui batas, dakwaan bohong golongan yang batil dan takwilan golongan yang jahil. (Riwayat al-Baihaqi, Ibn 'Adi dan lain-lain. Dinilai hasan oleh al-Imam Ahmad).

Al-Quran dan al-Sunnah adalah sumber rujukan Islam yang diboleh diubah. Namun di sana ada dua masalah utama mengenai dua sumber agung ini; pertama, pencemaran terhadapnya. Kedua, penafsiran terhadap maksudnya. Al-Quran sekalipun dijamin oleh Allah tidak mungkin mampu diselewengkan teks asalnya, tetapi ia dicemari oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dengan dimasukkan unsur-unsur Israiliyyat dan kisah-kisah dongeng yang cuba dikaitkan dengan al-Quran. Sehingga mereka yang tidak tahu, merasakan cerita-cerita al-Quran bagaikan 'lucu' dan tidak praktikal. Ini bukan sedikit yang dibuat oleh sesetengah para penceramah agama di media elektronik dalam negara kita. Adapun hadis, terdapat ribuan hadis-hadis palsu yang telah direka sepanjang sejarah untuk berbagai kepentingan, atau atas kejahilan. Di Malaysia ramai yang tidak berdisiplin dalam memetik dan membaca hadis sehingga kadang-kala cerita-cerita lucu atau tidak munasabah dikaitkan dengan hadis. Kesemua ini memerlukan tajdid.

Akidah adalah teras Islam. Akidah Islam itu mudah dan jelas. Semudah dan sejelas akidah dalam Surah al-Ikhlas. Sesiapa yang membaca al-Quran seperti Surah al-An'am akan mendapati kejelasan akidah Islam. Ia tidak berbelit-belit seperti sukatan yang mengajar sifat Allah dengan menghafal; Allah ada lawannya tiada, dengar lawannya pekak, lihat lawannya buta. Ramai yang muallaf dan bukan muallaf tidak jelas mengenai akidah dan mudah 'menukar agama' walaupun menghafal sukatan ini. Ini kerana sukatan tersebut adalah ajaran falsafah yang tidak sekukuh akidah yang mudah dan jelas yang diajar oleh al-Quran dan al-Sunnah. Kita perlukan tajdid dalam hal ini.

Dalam kefahaman fekah, taksub 'mazhab' yang cuba diwariskan kepada kita sesetengah kelompok konservatif agama menjadi masyarakat kita 'buta dalil' atau langsung tidak bertanya khabar tentang di manakah sumber sesuatu amalan agama dibuat. Benarkah ia berasal dari al-Quran dan al-Sunnah atau sekadar andaian. Bahkan yang taksub mazhab Syafi'i itu sendiri pun tidak pasti, betulkan al-Imam al-Syafi'i (meninggal 204H) berpendapat demikian? Atau sekadar 'mulut orang'. Lebih bermasalah lagi, kita kefahaman fekah tanpa dalil atau berasaskan dalil yang lemah itu menyebabkan kejumudan dan kesusahan umat. Diletakkan hukum-hakam yang tidak berasaskan nas yang jelas seperti 'arahan menyamak rumah' yang diajar oleh sesetengah pihak. Sudahlah tiada asas yang jelas, ia membebankan umat yang bukan-bukan. Keperluan kepada fekah yang berasaskan dalil dan mudah adalah tuntutan zaman ini. Dalam hadis Nabi s.a.w menyebut: "Agama itu mudah. Tiada seorang yang memberat-beratkannya melainkan dia menjadi susah. Maka bersederhanalah, dekatilah yang tepat dan gembirakanlah mereka"(Riwayat al-Bukhari).

Tazkiah al-Nafs, atau penyucian jiwa yang juga disebut oleh sesetengah pihak sebagai tasawwuf adalah satu keperluan. Namun persoalan yang begitu halus seperti itu yang membabitkan hubungan jiwa insan dengan Allah memerlukan panduan al-Quran dan al-Sunnah. Jika tidak ia akan terbabas menjadi bahasa-bahasa falsafah, igauan mengenai alam ghaib, sibuk dengan cerita wali dan keramat itu dan ini dan berbagai falsafah pelik yang lain. Tidak membawa mereka menuju kepada Allah sebaliknya ada yang terheret ke dalam kancah tarekat-tarekat yang pelik sehingga mereka tidak lagi mempelajari al-Quran dan hadis sebaliknya menumpukan kepada 'apa kata tok syeikh'. Tajdid diperlukan dalam hal ini.

Politik keperluan manusia untuk hidup bermasyarakat. Islam mempunyai panduan mengenainya. Namun oleh kerana terbiasa dengan cara politik Barat, bahkan kita lebih buruk dari mereka kadang-kala, maka politik bukan membawa kebahagiaan dan ketenteraman kepada umat, sebaliknya mencetuskan kesusahan, kegelisahan dan berbagai lagi kerenah yang lain. Pemikiran Islam dalam politik menjadi begitu tidak jelas sekalipun yang memakai jenama Islam atau yang berkaitan dengannya. Tajdid diperlukan dalam hal ini.

Banyak perkara-perkara baru yang wujud di zaman ini yang tidak pernah dikenali sebelumnya. Berbagai perubahan keadaan umat dan dunia menuntut berbagai pandangan baru dicetuskan demi survival umat. Islam itu diturunkan untuk maslahat manusia. Sesetengah pandangan atau pendapat sarjana Islam yang silam, mungkin bukan salah, tetapi telah luput tarikh disebabkan perubahan zaman dan keadaan. Maka mentajdidkan pendapat atau pandangan baru yang masih teraskan al-Quran dan al-Sunnah adalah satu keperluan dan tuntutan. Sebahagian nas al-Quran dan al-Sunnah hendaklah dilihat dalam konteks yang lebih luas dari segi maksud dan 'semangatnya'.

Jelas, usaha dan gerakan tajdid adalah keperluan umat, termasuk kita di Malaysia. Walaupun kadang-kala usaha tajdid di Malaysia pernah dikritik oleh yang tidak selesa dengannya dengan berbagai tohmahan. Namun baginda pernah menyebut: "Islam itu bermula dalam keadaan yang asing, dan akan kembali asing maka beruntung mereka yang asing. Ditanya baginda: "Siapakah mereka wahai Rasulullah!" Jawab baginda: "Mereka yang membaiki ketika manusia rosak".(Riwayat Ahmad, sahih).

Friday, June 05, 2009

Salam Sua

Aku sebenarnya tidak menulis hal berkaitan agama. Ilmu hanya cukup makan sahaja. Pengajian aku dalam bidang agama cuma pada peringkat introductory sahaja. Bahkan dalam ucapanku seharian cuma berkisar tentang hal-hal duniawi sahaja. 
Kenapa aku menulis tentang agama di dalam blogku kerana aku melihat sesuatu yang amat ganjil pada pandanganku tentang umat Islam kini. 

Kenapa ya?.......................... Kita lihat ke entry yang seterusnya.....................................