Saturday, July 25, 2009

Ikhlas Dalam Hidup Ini

Ramai orang berpendapat Ikhlas ada pada dirinya. Dan Allah berfirman di dalam surah al-Insan ayat 8-9
bermaksud
Dan mereka memberikan makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan orang yang ditawan. Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah mengharapkan keredhaan Allah, kami tidak menghendaki balasan dari kamu dan tidak pula ucapan terima kasih


Hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Muslim, at-Tarmizi dan an-Nasaai. Abu Hurairah telah berkata: Aku telah mendengar Rasulullah saw. telah bersabda: Sesungguhnya orang pertama yang dihakimi pada hari kiamat ialah

orang yang mati syahid. Di datangkan kepada beliau segala amalannya seterusnya dia akan disoal: Apakah yang telah kamu lakukan? Jawabnya: Aku telah berperang keranamu Ya Allah sehingga aku mati syahid. Di katakan kepadanya lagi: Kamu telah berbohong!. Malah kamu berperang supaya orang kata kamu berani!, dan mereka telah pun katakan (di dunia), kemudian diseret mukanya dan dicampakkan ke lubang neraka.

Kemudian didatangkan pula seorang penuntut dan penyampai ilmu dan juga merupakan pembaca al-Quran. Kemudian dihadapkan kepadanya segala amalan yang telah dilakukan di dunia, dan dia mengakuinya. Justeru itu dia ditanya: Apakah yang telah kamu lakukan? Jawabnya: Aku telah belajar dan mengajar ilmu, aku juga membaca al-Quran, semuanya keranamu Ya Allah. Kemudian Allah menjawab: Bohong!!, bahkan kamu belajar supaya orang kata kamu alim, dan kamu baca al-Quran supaya orang kata kamu seorang qari. Mereka semua telahpun berkata demikian di dunia. Setelah itu dia diseret dan dicampakkan ke dalam neraka.

Akhirnya dibawakan pula seorang yang dikurniakan harta benda serta kemewahan hidup di dunia, dan dia juga mengakui segala nikmat yang dikecapinya. Kemudia dia disoal: Apakah yang kamu lakukan dengan harta benda tersebut? Jawabnya: Aku tidak akan tinggalkan satu peluang bantuan yang engkau sukai Ya Allah sehingga aku akan keluarkan wang bantuan keranamu Wahai Tuhan. Allah menjawab: Bohong!!, tetapi kamu keluarkan bantuan tersebut supaya orang katakan kamu seorang yang pemurah. Mereka semua telahpun berkata demikian di dunia. Akhirnya dia juga diseret dan dihumbankan ke dalam api neraka.

Apabila saidina Muawiyah mendengar hadis ini, beliau menagis sehingga tidak sedarkan diri, apabila sedar beliau berkata: Benarlah firman Allah dan Rasul-Nya. Allah juga telah berfirman dalam surah Hud ayat 15-16. Mafhumnya: Barang siapa yang menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, nescaya kami akan berikan kepada mereka balasan pekerjaan mereka di dunia demgan sempurna, tanpa apa-apa kerugian. Itulah orang-orang yang tidak beroleh sesuatu di hari akhirat melainkan api neraka yang marak menyala.


Maka jika kita mengatakan apa yang dilakukan oleh kita adalah satu pekerjaan ikhlas saya hanya berserah kepada Allah dan juga niat saya bukan untuk show off.







Saturday, July 11, 2009

Orang kata jangan bercakap berkenaan ranting...... Peliknya

Aku pernah beberapa kali memangkas pokok di hadapan rumah aku. Banyak dahan dan ranting-ranting kayu sehingga mencacatkan pemandangan di hadapan rumah kami. Jika banyak ranting dan dahan pokok, adakah pokok yang kita tanam menarik? Tentulah tidak. Malahan lebih teruk dari itu di hujung dahannya terdapat sarang ular yang mungkin menjadi umpan kepada manusia yang melaluinya. Aku suka mengambil kiasan tentang permasalahan ranting ini.






ANTARA ISI PENTING YANG DIPETIK DARI KHUTBAH TERAKHIR (KHUTBAH WIDA') NABI MUHAMMAD RASULULLAH S.A.W.

Antara isi/kandungan penting yang dipetik dari khutbah terakhir Rasulullah SAW - disampaikan pada 9 Zulhijjah Tahun 10 Hijrah di Lembah Uranah, Gunung Arafah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. (Semua manusia berasal dari Adam dan Hawa, tidak ada (bangsa) Arab yang lebih mulia dari (bangsa) bukan Arab atau (bangsa) bukan Arab lebih mulia dari (bangsa) Arab; juga tidak ada yang (berkulit) putih lebih mulia dari yang (berkulit) hitam atau yang (berkulit) hitam lebih mulia dari (berkulit) putih) Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal saleh.

Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur an dan Sunnahku.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalahMU kepada hamba-hambaMu.

“Pada hari ini, telah Aku sempurnakan bagimu Agamamu, dan telah aku cukupkan nikmatKu untukmu, dan Aku redha Islam menjadi agamamu”. (Al-Maidah-3)

Ayat Terakhir yang diwahyukan Allah SWT ke atas Baginda Rasulullah SAW tidak lama selepas Khutbah Wida'


Khutbah Wada’ di sebut dalam hampir semua kitab Hadis. Antara lain - Sahih al-Bukhari:Hadith no. 1623, 1626, 6361 & 98. Imam al-Tirmidhi juga menyebut dalam Hadith-Hadith no. 1628, 2046, 2085. Imam Ahmad bin Hanbal telah menerangkan versi yang paling panjang dan paling lengkap dalam Musnad, Hadith no. 19774.